Di sebuah perkampungan yang aman harmoni, ada seorang lelaki tua yang tinggal di pinggir kampung. Dia sangat setia kepada Tuhan. Baik hati dan sangat rajin berdoa. Lelaki tua ini tidak pernah lupa untuk bersyukur kepada Tuhan atas segala hal.
Pada suatu hari, hujan telah turun dengan lebatnya.. Hujan tersebut tidak berhenti selama 7 hari 7 malam. Maka melimpahlah air sungai di tepi kampung itu. Seluruh kampung dilanda banjir besar. Semua rumah yang ada di kampung itu mula ditenggelami air. Begitu juga dengan rumah lelaki tua tersebut. Perlahan-lahan air sudah mencecah lutut. Maka lelaki tua itu naik ke atas meja. Tidak lama kemudian, air bertambah tinggi. Sehinggalah lelaki tua tersebut terpaksa naik ke atas atap rumahnya. Syukurlah rumahnya tidak dihanyutkan arus air.
Sejak mula hujan turun, lelaki tua itu sudah mula berdoa supaya Tuhan tidak membiarkannya mati disitu. Dia tidak berhenti-henti berdoa. sehinggalah banjir melanda dan lelaki tua tersebut terpaksa memanjat atap rumahnya, dia masih tidak putus asa untuk berdoa. dia percaya Tuhan akan menyelamatkannya kerana Tuhan mengasihi dia.
Apa yang lelaki tua itu percaya adalah benar. Tuhan amat mengasihinya. Maka Tuhan memakbulkan permintaan lelaki tua itu supaya menyelamatkannya dari banjir itu. Tuhan menghantar sepasukan penyelamat dengan bot dan alatan yang lengkap untuk mengambil lelaki itu dari atas atap rumahnya. Tetapi, lelaki tersebut tidak mahu menaiki bot tersebut. Dia percaya Tuhan akan menyelamatkannya dan bukan sepasukan manusia. Maka dia terus berdoa untuk meminta pertolongan dari Tuhan. Tuhan masih berbelas kasihan dan menghantar pasukan penyelamat yang kedua. Namun, lelaki tua tersebut masih berdegil dan mahu terus bertahan di atas atap rumahnya. Tuhan menghantar pasukan penyelamat yang lain tetapi lelaki tua tersebut tidak mahu mengubah fikirannya. Sehinggalah banjir terus menjadi lebih teruk dan lelaki tua tersebut mati dihanyutkan arus air, beliau tidak dapat diselamatkan.
Beginilah manusia!!! kita selalu berdoa dan mengharap Tuhan menjawap doa kita. tetapi kita seringkali tidak mengendahkan jawapan doa yang diberikan. Ingatlah, Tuhan tidak semestinya akan menjawap doa kita sepertimana yang kita mahukan atau sepertimana yang kita inginkan. Tidak juga pada masa yang kita mahukan atau pada masa yang kita fikirkan sesuai. Segala sesuatu ada waktunya. Tuhan lebih mengetahui. Mungkin Tuhan sudah memberikan jawapan kepada kita berkali-kali, tetapi mata kita buta dengan dunia sehingga kita tidak dapat melihat kasih dan anugerah seindah itu..
Tuhan Memberkati.
No comments:
Post a Comment